16 November 2023

Batang Keladi vs Batang Seroja / Waterlily

Oh! 

Hari ini persoalan yang bermain di mindaku selama 2 tahun telah terjawab!

Ops.. sebelum tu, lebih baik aku terangkan konteks cerita ni. FYI, sekarang ni aku sedang berminat dengan satu hobi baru, iaitu menanam pokok seroja aka waterlily. Mulanya aku dan mak aku ronda-ronda kat nurseri Sungai Buloh. Dah rezeki kami, dapatlah sepasu seroja merah jambu. Semenjak dari itu, aku jadi berminat pada pokok air ni 😁


Dah tabiat manusia kan, bila minat sesuatu perkara atau hobi, kita mesti nak tahu dan cari segala macam maklumat berkaitan benda tersebut. Jadi aku pun bacalah bermacam-macam artikel di internet, tonton pelbagai video YT dan TT malah menyertai group2 yang berkaitan di FB. Segalanya demi mu seroja! Memang banyaklah maklumat yang dapat aku sedut demi meluaskan pengetahuan tentang pokok suci kuil Mesir ini. 

Antara info yang menarik boleh aku kongsikan ialah:
1. Seroja ada 2 jenis. Satu yang suka berbunga di musim panas. Sejenis lagi suka berbunga di musim hujan.
2. Jika pokok tu tak cukup nutrien, tangkai daunnya akan panjang dan kurus. Sebaliknya, jika penjagaan baik dan baja mencukupi, tangkai daunnya akan pendek dan gemuksss.
3. Setiap kuntuman bunga seroja akan bertahan selama 3-4 hari sebelum layu sepenuhnya. Yang buat aku kagum dengan ciptaan Ilahi ni, jika proses pendebungaan berlaku dengan sempurna dalam tempoh tersebut, biji benih akan terbentuk. Kita boleh tahu adanya biji bila tangkai bunga yg sudah layu itu menjadi bentuk S. Tangkai bunga tanpa biji benih akan kekal lurus. Subhanallah..
4. Pada aku, info ini yang paling menyentuh hati aku sebab ada tragedi 🥹. Bila kita menanam pokok seroja di pasu baru ataupun buat pemasuan semula, wajib. Diulang; WAJIB menanam separas akarnya sahaja. Jangan sesekali ditimbun tanah sehingga batangnya tertanam juga. Andai dilanggar pantang ini, maka inna lillah jawabnya!

Nak dijadikan cerita, petang-petang santai begini aku duduk bercanda di buaian sambil layan pokok keladi mak aku. Tiba-tiba.. TING!! 💡

Sekarang cuba tengok gambar di bawah. 



Nampakkah engkau akan kejadiannya? Nampak tak?! 
Pokok keladi pun tumbuh separas akarnya! 2-3 pasu keladi aku cek semuanya sama!

Jadi aku pun terimbau kisah tragedi keladi askar mak aku. 

Alkisah. 

Zaman PKP dulu, berlaku satu fenomena di mana kakak, mak serta semua suri-suri rumah di seluruh Malaysia gila keladi. Segala jenis variety, corak, warna habis dibeli deme. Ratus, ribu malah puluhan ribu ringgit pun ada terjual!

Ada sekali tu, kakak aku beli 2 pasu keladi askar (korang boleh google kalau nak tau macam mana rupanya). Sepasu untuk dia, sepasu untuk mak aku. Punya la subur mak aku jaga dan tatang keladi tu, daunnya sahaja lagi besar dari 2 telapak tangan hamba ini! Hiduplah dia dalam pasu dengan aman dan tenteram di sudut laman rumah aku. 

Sampailah pada suatu ketika, ku dapati daunnya makin kecil dan kurussss…

Aku yang terlebih prihatin ni apa lagi,

“Ni mesti nutrien pada tanah dah makin hilang ni.” 

Aku ambik pek tanah hitam mak aku, lalu ku tuang ke dalam pasu keladi abang asykar. Buat pengetahuan korang, pek tanah hitam ni memang aku yakini kehebatan dan keunggulannya. Tanam pokok apa pun guna tanah tu, insya Allah akan subur dan menjadi. Pokok jambu batu yang dah nazak pun boleh naik segar-bugar  rimbun dan berbuah lepas ditambahkan tanah hitam tu. 

Namun, kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Pokok yang asalnya cuma kurus dan kecil kini telah layu tidak bermaya. Akhirnya ia terkulai mati ☠️ Aku tak tahu kenapa! Aku dah cuba selamatkannya. Tapi… 😭😭😭

Namun, hari ni. Hari INI! Baru ku tahu keladi abang asykar tu mati sebab batangnya tertimbus dek tanah! 

🤯

Izinkan aku mengakhiri nulikan ini dengan serangkap pantun keladi demi mengenangkan almarhum keladi abang asykar;

Pokok keladi di tepi paya,
Teratai merah kembang bertaut;
Andai memberi pada yang kaya,
Bagai mencurah garam ke laut.

P/S: Pengajarannya dari kisah pokok keladi mak aku tu, kalau pokok keladi makin kecil dan kurus, sila tambahkan baja dan bukannya tanah.

Eton 16.11.2023

11 November 2021

Bahana Bila Kau Terajang Sarang Lebah

 

Minggu lepas aku tutup kedai selama seminggu sebab aku dan mak pergi ke rumah Marina di Terengganu. Almaklumlah, sejak dah boleh merentas negeri sekarang ni kaki pun makin panjang 😆

Masa di sana, aku terjumpa satu buku yang banyak disebut oleh guru-guru bisnes; “How to win friends and influence people: Edisi Bahasa Melayu”. Terus aku beli woi!


Penulisan bukunya memang bagus. Siap ada panduan dari penulis bagaimana cara nak dapatkan manfaat buku ini dengan sepenuhnya.

Hari ni aku baru habiskan Bab 1. Apa yang aku boleh cakap setakat ni:

  • Isi yang nak disampaikan ditekankan berulang kali dan disertakan pula pelbagai peristiwa dan contoh supaya kita pembaca faham. Jadi kita boleh bayangkan kenapa benda tu jadi dan kenapa seseorang itu bertindak begitu.
  • Gaya penyampaiannya santai seolah-olah Pak Dale  ni tengah bercerita dangan kita, memang best 👍👍👍

Selain ke’best’an yang aku cakap pasal buku ni, ada sikit kekurangannya:

  • Cerita-cerita yang disebutkan adalah berkaitan individu-individu hebat pada ketika buku ini ditulis iaitu dalam tahun 1920an-1930an. Jadi aku kurang connected dengan cerita tersebut dan perlu buat bacaan tambahan di Internet supaya aku faham maksud yang nak disampaikan. Tapi aku faham dan ada disebutkan dalam Kata Pengantar buku ni; andai Pak Dale masih hidup sekarang ni pasti dia akan menyemak sendiri buku How To Win Friends and Influence People ni supaya sesuai dengan perubahan semasa.
  • Terjemahan Bahasa Melayu yang agak lemah. Aku faham kekangan dalam menterjemah ni perlu berjaga-jaga supaya tak menyimpang dari maksud yang penulis asal nak sampaikan. Tapi pada pendapat aku, perlu juga sesuatu ayat itu memberi makna dalam Bahasa Melayu kita. Adakalanya ayat terjemahan tu aku rasa aneh dan perlu rujuk teks asal dalam bahasa Inggeris. Cadangan aku ialah perlu ada nota kaki supaya pembaca dapat fahamkan konteks ayat tersebut.

 

Jom bincang Bab 1

Tajuknya ialah, “Apabila Ingin Mengambil Madu, Jangan Ditendang Sarang Lebahnya”.

Ok, mari kita fikirkan bersama tentang tajuk ni. Apa akan jadi kalau kau tendang sarang lebah? 🦶🐝

Jika kita lihat secara fitrahnya, sarang lebah ni kan selalu dibuat di dahan-dahan pokok. Nak-nak pula lebah di Malaysia ni, kalau nak buat sarang, nun tinggi menyayup kat atas pokok tualang. Jadi kalau nak ambil madu memang kau kena panjat pokok. Jangan nak kata kau nak tendang sarang lebah yang orang bela tu ye! Sebelum kau tendang sarang lebah tu, tuan dia dah tendang kau! 


Berbalik pada sarang lebah atas pokok tadi, niat asal kau adalah nak ambil madu lebah dari sarang tu. Tapi masa nak ambil tu kau ternampak, “Eh banyaknya lebah kerumun sarang dia, habislah aku kena sengat nanti”. Jadi kau pun terajang sarang tu sambil berkata, “ Mampuslah kau lebah!”

Namun kau tak jangka, rupa-rupanya:

1.     Lebah-lebah tu akan serang kau sebab rumahnya kau dah rosakkan.

2.     Lebah-lebah tu akan serang kau sebab anak-anaknya dalam bahaya.

3.     Lebah-lebah tu akan serang kau sebab saudara-saudaranya mati dan cedera masa kau terajang sarang dia (FYI: Apabila kau membunuh SEEKOR kerengga/lebah/tebuan, ada satu bau dari jasad serangga itu akan melekat di badan kau dan ia menjadi isyarat kepada gengnya bahawa kau adalah pembunuh. Jadi kau akan menjadi target serangan beratus-ratus ekor serangga tadi. Larilah ke mana pun, mereka pasti mengejar).

4.     Kaki kau akan kotor akibat madu yang melekit di seluar dan kasut kau.

5.     Kemungkinan besar kau akan jatuh berdebuk ke tanah sebab kau hilang keseimbangan masa sibuk menepis lebah-lebah tu.

Akhirnya, madu tak dapat. Yang dapat ialah sakit akibat disengat lebah dan jatuh pokok.

Suatu masa yang lain kau tengok datang seseorang ke pokok yang sama. Dia pun nak ambil madu di atas pokok tu juga. Hati kau berbisik, “Rasalah kau sengsaranya nak ambil madu! Muahahaha 😈😈😈”

Tapi kau lihat dia datang siap bawa kelengkapan:

  • Tangga -  untuk panjat pokok
  • Jamung - untuk asapkan lebah supaya mabuk
  • Tali – untuk ikat badan ke batang pokok
  • Baldi – untuk isi madu

Tak lama lepas tu kau tengok dia berlalu pergi bersama sebaldi madu, tanpa diserang lebah, tanpa luka terjatuh dari pokok.

Berbeza kan hasil yang dia dapat dari bahana yang kau terima?

Mengapa jadi begitu?

Sebabnya ialah dia tak serang lebah tu macam yang kau buat! 😠

Hahaha..ok2 bertenang. Ni contoh sahaja ok. Hakikatnya kau dan aku tak pernah dekat dengan sarang lebah pun. Hahaha

Apa yang Pak Dale nak kaitkan tentang tajuk dengan point dalam Bab 1 ialah jangan la dok kritik-kritik orang lain. Tak ada orang yang akan suka-suka atau gembira bila dikritik. Sebelum kita nak kritik seseorang, fikir dulu 🤔🤔🤔

"Bagus ke tak kalau aku kritik dia ni?" 

Jadi sekiranya kita melihat ada perkara yang tak kena, ambil pendekatan yang lebih baik dari mengkritik. 

Apa dia?

 

Nantikan jawapannya di Bab 2 nanti 😉

 

 

02 February 2016

Menterjemahkan masalah kepada bentuk pernyataan (Penyelidikan)

Apakah dia Masalah dan Pernyataan Masalah di dalam penyelidikan?
'Masalah' boleh dinyatakan sebagai 'sebarang situasi di mana wujud jurang di antara keadaan sebenar dan keadaan ideal. 'Masalah penyelidikan' pula ialah satu pernyataan tentang kesukaran atau kekurangan dalam suatu bidang/lingkungan tertentu yang memerlukan (i)  penambahbaikan terhadap kekurangannya (ii) penyingkiran kesukaran/kerumitan; (iii) mungkin juga ia adalah suatu isu bertantangan yang wujud secara teori (kajian ilmiah) dengan praktisnya yang memerlukan pemahaman dan siasatan pertimbangan.


Apakah tujuannya?
Dalam penyelidikan, tujuan utama dalam menyatakan masalah adalah bagi mengubah suatu masalah yang umum kepada satu masalah yang bermatlamat dan jelas supaya boleh diselesaikan dengan penyelidikan terfokus dan pertimbangan yang baik.

Pernyataan masalah yang baik dapat:
  1. Memperkenalkan kepada hadirin/pembaca berkenaan topik yang sedang dikaji. Pembaca dibawa melihat kepada kepentingan kajian tersebut, beserta persoalan-persoalan penyelidikan dan hipotesisnya.
  2. Meletakkan masalah tersebut dalam konteks (situasi) tertentu bagi menakrif parameter-parameter yang perlu diselidiki.
  3. Menyediakan kerangka bagi melaporkan keputusan serta menunjukkan apakah yang (mungkin) diperlukan bagi melaksanakan penyelidikan tersebut di samping menerangkan bagaimana penemuan-penemuannya akan mewakili maklumat itu.
Bagaimanakah cara bagi menulis pernyataan masalah?
Penulisan pernyataan masalah terbahagi kepada tiga bahagian iaitu (i) keadaan unggul (ideal); (ii) keadaan sebenar (reality) dan (iii) akibat (consequences).
  1. Keadaan unggul: Menerangkan matlamat atau situasi yang ideal dan bagaimana perkara/benda sepatutnya berlaku.
  2. Keadaan sebenar: Menerangkan suatu syarat/kekangan yang menghalang matlamat@situasi di keadaan unggul dicapai. Juga menerangkan keadaan semasa yang sudah kurang ideal kerana wujudnya kekangan itu.
  3. Akibat: Kenalpasti cara/jalan yang hendak dicadangkan bagi menbaiki situasi semasa dan mendekatkan kembali situasi itu dengan matlamat asal yang ideal.


Empat langkah menulis pernyataan masalah
Langkah 1 (Ayat pertama)
Bina ayat pertama dengan menerangkan satu matlamat atau situasi yang ideal bagi satu fenomena ataupun keadaan. Ini akan membina keadaan unggul (Apa yang sepatutnya berlaku, apa yang dijangka dan diharapkan berlaku).

Langkah 2 (Ayat kedua)
Terangkan keadaan yang menghalang matlamat, keadaan atau nilai yang dibincangkan dalam Langkah 1 daripada dicapai ataupun keadaan yang disedari buat masa ini. Ini membina keadaan sebenar yang menerangkan keadaan semasa dan mewujudkan jurang di antara 'apa yang sepatutnya' dengan apa yang terjadi sekarang'.

Langkah 3
Hubungkan Langkah 1 dan Langah 2 menggunakan istilah 'tetapi', 'namun begitu', 'meskipun' 'sebaliknya'.

Langkah 4 (Ayat ketiga)
Gunakan butir-butir terperinci/khusus bagi menunjukkan bagaimana situasi dalam Langkah 2 boleh diperbaiki sekiranya sesuatu tindakan dilakukan (akibat). Kemudian tekankan kelebihan yang diperolehi bagi kajian ini dengan menyenaraikan segala kemungkinan penyelesaian yang ada.

24 December 2015

Dan apabila kau menerima pesanan peribadi dari seorang aku

Sukar bagiku,
Meluahkan apa yang aku rasa,
Kepada mu yang sangat rapat denganku,
Dan aku letakkan begitu hampir dalam hatiku,
Pada saat aku sedih,
Pada ketika hatiku letih,
Mengapa perlu diungkap,
Kata-kata yang tidak sensitif.


Dalam aku terasa,
Bahasa badan memberi tanda,
Riak wajah memberi gambaran jiwa ,
Ku mohon kau fahami daku,
Aku sedang berusaha menjaga hubungan kita,

Sebolehnya ku tahan,
Andai bersuara itu boleh menyakitkan,
Maka aku memilih untuk diam.
Namun ia tak bermakna,
hatiku menjadi kebal,
Berubah menjadi perisai.

Ketahuilah,
Hatiku tak kuat,
Ia kekal sebagai seketul hati,
Yang berdarah apabila diguris,
Yang luka apabila ditoreh,
Oleh kata-kata yang tajam menghiris.

Dan pabila hati ini tak mampu lagi,
Menanggung rasa yang menekan jiwa,
Ku tahu sudah tiba masanya,
Meluahkan apa yang terpendam di dada.

Kerana pilihannya antara dua;
Pertamanya,
Ku buang dikau jauh dari hati,
Hingga kau terpinga,
Mengapa 'kita' seperti tidak wujud lagi,
Yang ada hanya kau, aku..
Kenapa akrabnya tiada lagi,
Ukhwahnya tiada manis,
Sungguhpun dekat namun jauh,
Maaf, aku perlu menjaga hati.

Kedua,
Aku luahkan apa yang ku rasa,
Bukan meniti dari bibir ini,
Hanya jari jemariku yang menari di atas kekunci,
Melakarkan rasa hati.

Dan itulah yang ku pilih,
Pesanan peribadi ku layangkan,
Sebagai utusan hati,
Agar kau tahu,
Supaya kau mengerti,

Arkian,
Tiadalah jua mampu kau fahami ku,
Perutusanku hanya kau jadikan jenaka,
Lalu, apa lagi mampuku harapkan,
Daripada aku terus berdukacita,
Jadi sudah masanya hatiku ucapkan,
Selamat jalan.



21 December 2015

Memikirkan Kejadian Kumbang Dengung dan Lebah Madu

Sekarang ni sedang menelaah buku "Belajar Berfikir". Payah bebenor bila dah tua-tua ni baru nak belajar berfikir! Hahaha...

Ok, entry ni bukan nak buat ulasan buku ni tau. Ulasannya kita simpan untuk blog Buku Eton nanti ya. Sebenarnya, sewaktu sedang asyik membaca, terjumpa satu info menarik iatu "bumble bee syndrome". Cuba tengok petikan dalam Gambar 1.

Gambar 1
Fenomena ini dikaitkan dengan penciptaan-penciptaan oleh mereka yang bukan pakar dalam bidang tersebut namun hasil penemuan tersebut merubah dunia. Antara contohnya ialah kapal selam praktikal yang pertama di dunia dicipta oleh seorang guru, mesin pencuci vakum direka oleh seorang pembuat jambatan dan seorang peguam English pula mencipta mesin penyemai benih gandum.

Hmm..dari situ mula mencari makna bumble bee. Jadi, penemuannya ialah:

  • Bumble bee: Robot dalam filem Transformers (rasanya ni yang paling orang kenal!)
  • Chevrolet Camaro: Robot bumble bee dalam bentuk kereta.
  • Bumble bee project - NVIDIA Optimus technology for LINUX: Projek ni berkaitan pembangunan sistem sokongan nVidia bagi meningkatkan kualiti bateri laptop yang guna Intel i3/i5/i7.
  • Bumble bee is not a honey bee: Baru tahu lain-lain spesiesnya.




Kemudian terjumpa pula satu video menarik tentang Tarian Lebah. Ianya menerangkan bagaimana lebah membuat tarian kibas sebagai satu cara komunikasi dengan kawan-kawannya untuk beritahu di mana lokasi makanan berada. Sila saksikan video di bawah.

The waggle dance of the honeybee.

Bila dirisik-risik dalam terjemahan Al-Quran, terjumpalah ayat 68 dan 69 dalam surah Lebah (An-Nahl) :


"Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: “Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat yang dibikin manusia.Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. Dari perut lebah itu keluar minuman yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat obat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang mahu berfikir." [QS. An-Nahl : 69]

Perhatikan ayat terakhir; "terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang mahu berfikir". Dalam video di atas, kita sedar bahawa hasil daripada tindakan berfikir para penyelidik, maka Allah kurniakan mereka kefahaman terhadap perlakuan lebah tersebut. Lalu saya menilai semula diri, "Adakah aku cukup berfikir selama ini? Apakah betul setiap yang aku fikirkan? Sejauh mana pemikiranku mendekatkan diriku pada Allah, penciptaku?"

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka". [QS. Al-Imran : 190-191]


"Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka" 


08 December 2015

Saya seorang INFP

Dah dua bulan.  Liza kongsikan satu link dalam kumpulan WhatsApps kami.
"Cuba buat ni untuk lebih mengenali diri sendiri."
Aku pun kliklah link tu dan tengok. Oh, ujian personaliti. Dah pernah buat dah.. Tapi buat jugak :p

Personality test

Rupanya personaliti aku INFP. Patutlaaa...


06 December 2015

Minda Mangsa - Victim Mentality

Saya tidak semenjak bila ia bermula, tapi dalam 6 bulan kebelakangan ini ianya terlalu ketara apabila saya sentiasa berasa dibuli, disalaherti dan tidak dinilai selayaknya. Kata-kata saya sentiasa adalah saya telah menjadi mangsa dan merasakan hal tersebut tidak sepatutnya berlaku begitu. Malah, komunikasi saya sentiasa ke arah negatif.. Sehinggalah saya terbaca salah satu post berkaitan 'Minda Mangsa" ataupun victim mentality yang menyebabkan saya tersentak! Oh, inilah yang sedang saya lakukan pada diri sendiri.

Facebook Puan Ainon Mohd

"Minda Mangsa"

Seseorang itu mempunyai 'victim mentality' apabila dia percaya dia gagal akibat telah menjadi mangsa kepada perbuatan jahat orang-orang lain terhadap dirinya.

Apabila kita percaya kita adalah mangsa kepada perbuatan-perbuatan jahat orang lain, maka akibatnya:

  • Kita percaya orang-orang jahat itu yang mesti memberhentikan kejahatan mereka, barulah nanti kita boleh berjaya.
  • Bagi kita, orang-orang jahat itu yang mesti mengubah sikap mereka. Kita sendiri tidak perlu mengubah sikap kita, sebab kita hanyalah mangsa mereka. Hasilnya, kita kekal sebagaimana kita seadanya.
  • Minda mangsa menyebabkan kita berasa serba tak berdaya hendak mengeluarkan diri sendiri daripada kegagalan. Kita perlukan orang lain supaya mengeluarkan kita, tetapi orang lain semua busuk hati terhadap kita!
****************************************************************************


Jadi, bagaimanakah caranya untuk saya mengubah minda mangsa ini? Berikut adalah antara langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi pemikiran tersebut.
  1. Terima tanggungjawab - Hakikatnya kita sendiri yang bertanggungjawab terhadap perasaan, pemikiran dan tindakan kita. Kita ada kawalan terhadap ketiga-tiga perkara tersebut. Kesan psikologi terhadap golongan yang tidak mahu menerima tanggungjawab adalah sangat besar. Kesan utama ialah hilang self-esteem sehingga mereka tidak mampu mengenalpasti kemahiran diri, menolak inisiatif diri, malahan kurang rasa hormat terhadap diri sendiri dan rasa kegagalan akan lebih mudah hadir dalam pemikiran golongan ini.
  2. Ambil pengajaran dan buat perancangan - Eton, kau tak akan membesar, matang dan mekar jika tidak belajar dari kesilapan dan pengalaman. Muhasabah diri dan renungkan semula dari pelbagai sudut atas apa yang telah berlaku. Kemudian kenalpasti, apakah tindakan-tindakan yang perlu ditingkatkan, diperbaiki, dielakkan. Kemudian buat perancangan.
  3. Jadi proaktif - Ambil tindakan untuk mengubah keadaan sekarang. Walau sekecil mana, walaupun sekadar sekelumit, namun jika ada kesan terhadap tindakan itu, maka lakukannya segera.